Contoh terbaik pada fikiran saya adalah "informasi". Jelas kepada kita semua bahawa "informasi" adalah penterjemahan langsung perkataan Bahasa Inggeris "information". Istilah ini sering digunakan dalam media massa, malah kebanyakan daripada kita tidak berfikir dua kali untuk menggunakan istilah ini dalam percakapan harian. Sebenarnya tidak ada sebab untuk kita menggunakan istilah "informasi" kerana penterjemahan "information" ke dalam Bahasa Melayu adalah "maklumat". Apa salahnya dan apa kurangnya jika perkataan "maklumat" digunakan berbanding dengan "informasi". Sebenarnya banyak lagi istilah lain yang pada fikiran saya tidak perlu digunakan, sebaliknya istilah Bahasa Melayu yang sedia ada sudah cukup sesuai. Senarai contoh istilah-istilah ini adalah seperti berikut:
Informasi - Maklumat
Konsumer - Pengguna
Bajet - Belanjawan
Final - Perlawanan Akhir
Opsyen - Pilihan
Fokus - Tumpuan
Global - Sedunia
Transformasi - Penukaran, Perubahan
Program - Rancangan
Rasis - Perkauman
Saya pernah membangkitkan perkara ini kepada teman-teman. Alasan atau sebab yang diberikan selalunya:
1. Bahasa Melayu sememangnya bukan satu bahasa yang asal, dan kebanyakan istilah Bahasa Melayu berasal dari bahasa-bahasa lain - Indonesia, Inggeris, Portugis, dan sebagainya.
2. Tidak ada sebab perkara ini perlu dibangkitkan kerana jika kita menonton rancangan dari negara jiran kita, penggunaan istilah-istilah Bahasa Inggeris yang telah diterjemahkan secara langsung adalah berleluasa.
Alasan-alasan di atas pada fikiran saya tidak dapat diterima sama sekali, dan seharusnya tidak digunakan untuk menyembunyikan kemalasan masyarakat kita untuk menggunakan istilah-istilah Bahasa Kebangsaan kita ini.
Senarai di atas akan saya perbaharui dari masa ke masa. Saya juga mengalu-alukan apa-apa cadangan atau pandangan pembaca, samada hendak menambah kepada senarai istilah ini, atau pun hendak mempersoalkan istilah-istilah yang sedia ada. Saya mengaku bahawa penguasaan Bahasa Melayu saya sendiri tidaklah begitu sempurna, malahan di peringkat PMR dan SPM pun saya tidak pernah sekali pun mendapat tahap "A" dalam peperiksaan. Oleh itu, saya amat berbesar hati jika pembaca dapat sama-sama memberikan pandangan terhadap masalah yang berat sebegini.